Kalian mungkin pernah berpapasan dengan hantaran seseorang yang pernah tular tentang kadar bayaran guru mengaji yang dikatakan terlalu mahal atas alasan, ‘ikhlas sahaja lah, mengaji je pun.’
Ibu dan Abah turut tidak terlepas daripada melalui pengalaman sedemikian. Dahulu, sewaktu mula-mula membuka kelas mengaji pada sekitar tahun 2003/2004, kerjaya sebagai guru mengaji ini hanya sekadar dianggap dan dipandang sebelah mata sahaja. Pernah suatu masa, Ibu saya tidak meletakkan bayaran untuk kelas pengajian yang dihadiri anak-anak di sekitar temapt tinggal kami tersebut, dan upah mengaji yang diberikan hanyalah berjumlah RM 10. Untuk penat lelah guru mengaji duduk berjam-jam mengajar satu persatu anak anak dengan penuh sabar dan ikhlas mencurahkan ilmu, tidak wajar jumlah tersebut diberikan dengan kadar pengajaran sedemikian.
Kini jika di bandar-bandar besar, seorang pelajar akan dikenakan bayaran sebanyak RM 50 – 70 untuk setiap satu bulan pengajian. Pada era ini, mungkin masih ada Ibu bapa yang masih mahu menghantar anak mengaji, namun juga berfikiran bahawa seharusnya tenaga pengajar dibayar seikhlas hati sahaja. Pada hemah saya, mungkin kalian tidak perlu menghantar anak-anak kalian ke kelas pengajian Al-Quran, sebaliknya anda sendiri sahaja yang mengajar mereka di rumah.
Ada juga dalam kalangan Ibu bapa yang begitu lewat menjelaskan yuran pengajian, sehingga kadangkala terpaksa tenaga pengajar memberikan peringatan berkali-kali untuk menjelaskan pembayaran. Abah sering meluahkan isi hatinya, “Jika kelas – kelas keduniaan seperti kelas tuisyen, pasti akan laju sahaja para ibu bapa menjelaskan yuran tanpa perlu diberikan peringatan. Setiap bulan pasti tidak culas menjelaskannya, namun bagaimana dengan bayaran untuk kelas mengaji?”
Saya menghembus nafas. Kadangkala rasa tidak senang terhadap kelakuan dan sikap manusia hanya mampu disimpan
di lubuk hati. Abah menyambung, “Kebanyakan waktu, para ibu bapa yang sering komited menghantar anak-anak serta serius menjelaskan bayaran yuran pengajian tanpa berkira, tanpa kelewatan, anak-anak mereka lebih lagi mudah celik huruf- huruf Al-Quran.”
Saya mengangguk, ia mengingatkan saya tentang konsep keberkatan, dan hal bekalan untuk alam kekal abadi. Ada ketika kita mungkin terlupa tentang hal ini.
NAMA (PSEUDONYM) : Alim
Kirimkan cerita / luahan ke http://nadyabooks.com/submit-bm
Baca Cerita: https://nadyabooks.com/stories