Malam yang panjang, angin kencang di luar sesekali menampar tingkap biliknya yang bertutup rapat. Dia menarik gebar tebal rapat menutupi tubuhnya. Sesekali dia menggeletar kesejukan. Sempat dia mengalihkan pandangan ke arah tingkap yang langsirnya sedikit terselak dan memandang ke langit. Bintang-bintang pada malam ini kelihatannya menyembunyikan diri di balik awan. Hendak hujan mungkin, fikirnya. Langit pun kelam semacam pada malam ini. 

Nafas nya dihela perlahan. Berbagai-bagai persoalan bermain di mindanya. Kacau dan serabut.  Betapa hanya Tuhan sahaja yang tahu bahawa mindanya pada ketika ini sedang bising dan bingit sekali. Mindanya lekas mengimbau tempoh 9 tahun yang lalu di mana dia telah menaruh hati pada seorang pelajar perempuan sekelas dengannya dan merupakan rakan baiknya sendiri. Pelajar perempuan tersebut sangat baik padanya. Lembut, sopan, serta punya wajah yang ayu dan kulit secerah bangsa Tionghua. Dia menyelak anak rambut yang jatuh ke dahi. Ketika itu, dia sendiri tidak ingat bagaimana dia boleh jatuh cinta pada rakan perempuannya itu. Dan pada saat itu, dia memberanikan diri untuk menyatakan rasa cinta dan suka nya kepada rakannya itu. 

Sememangnya mulut-mulut longkang pada ketika itu rancak berbicara tentang dia yang telah meluah kan perasaan sebenarnya pada si rakan perempuannya itu. Sejujurnya pada waktu itu dia benar-benar gila bayang. Mungkin rakan perempuan yang disayanginya itu tidak ambil serius perihal perasaannya itu,maka dia akhirnya menerima layanan yang baik daripada rakannya itu. Setiap hari berbalas mesej sehingga mengundang rasa curiga pada ahli keluarganya. Ah, apabila ditanya, dia hanya menjawab, sedang bersembang dengan rakan perempuannya. Lantas ahli keluarganya tidak mengesyaki apa-apa.

Bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, dia melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh terletak tidak begitu jauh dari rumahnya. Sebelum itu dia sempat bersekolah di sekolah agama perempuan yang cukup terkenal, dan terletak di barat tanah air. Mungkin sudah takdirnya, satu peristiwa  berlaku menyebabkan dia berpindah ke sekolah berasrama penuh yang lebih hampir dengan rumah dan ibu bapanya. Pun begitu, dia sempat jatuh hati pada beberapa orang senpai yang berkulit cerah, berhidung mancung dan berwajah ala-ala pelakon korea selatan yang pada ketika hangat menjadi pujaan wanita dan gadis-gadis remaja sebayanya. 

Di sekolah baharunya, dia menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar seperti biasa, dia meletakkan sepenuh fokus dan kesungguhan pada pembelajarannya sehingga muncul menjadi pelajar terbaik dalam ranking top 10 setiap kali musim peperiksaan. 

Namun, langit tidak selalunya cerah, pada ketika dia menginjak ke tingkatan menengah atas, dan sewaktu cuti pertengahan tahun sebelum masuk ke penggal pertama persekolahan, dia ditimpa sakit. Berhari-hari ibu dan ayahnya membawanya pergi berjumpa ustaz dan pengamal perubatan Islam di merata tempat. Syukur Alhamdulillah, dia pulih walau tidak sepenuhnya seperti sediakala selepas itu. Sebelum dia ditimpa sakit tersebut, dia juga sempat jatuh hati pada dua orang guru perempuan, muda-muda semuanya, berwajah mulus dan sedap mata memandang. 

Hidup ini bagaikan roda, begitu juga dengan apa yang berlaku pada kehidupannya. Dua tahun tempoh dia berada di tingkatan menengah atas, kehidupan benar-benar menghimpitnya. Fokusnya lari, kesungguhan nya hilang entah ke mana, dia semakin lemah semangat, dan langsung keputusan peperiksaannya sungguh merosot. 

Lebih teruk lagi, kali ini, dia jatuh hati buat kali yang entah ke berapa dalam perkiraannya. Pada musim tahun peperiksaan dan tahun akhir persekolahannya itu, dia benar-benar gila bayang kepada seorang guru perempuan muda bertudung labuh yang cantik sekali. Bibirnya merah delima, hidungnya mancung dan berwajah bujur sireh serta berkulit cerah. Bukan dia seorang yang jatuh hati, hampir kesemua pelajar dan guru lelaki di sekolahnya kerap kali mencari jalan dan peluang untuk mengenalinya dengan lebih dekat. Ternyata aku telah mendahului mereka apabila aku mendapat tempat di hati guru perempuan yang tulus hatinya terhadap aku itu. 

Kerap kali berbalas mesej dan dia sentiasa mencari peluang untuk memanjang kan perbualan tiap kali kami bertemu di bilik guru atau berbicara secara maya dengan perantaraan telefon bimbit cap Nokia N370 yang popular dalam kalangan pelajar sekolah pada suatu ketika dahulu. 

Setiap hari, saat dan masa dia sentiasa terbayang-bayang akan wajah dan keayuan guru perempuan itu. Pelajaran nya entah ke mana, seminggu sebelum menjelang peperiksaan, dia masih terbayang-bayang akan guru perempuan tersebut memeluk tubuhnya erat.

Tiba saat keputusan peperiksaan diumumkan, dia memperoleh keputusan yang sangat teruk. Yang dia sendiri tidak sanggup untuk melihatnya. 5 tahun dia di sekolah berasrama penuh ini, ini sahaja keputusan cukup makan yang diberikan pada kedua orang tuanya. 

Hairan, dia masih tidak perasan dan tidak langsung menyedari akan apa yang berlaku pada dirinya. 

Tuhan sentiasa adil dan tidak pernah lepas menyayangi saban waktu dan ketika. Dia diterima masuk ke salah sebuah universiti awam yang juga cukup terkenal dan mengambil jurusan yang tidak kurang hebatnya iaitu kejuruteraan. 

Entah mengapa, waktu itu juga dia gagal untuk fokus dengan pembelajarannya kerana pada tahun pertama dia menjalani kehidupan sebagai salah seorang pelajar universiti, dia dibuang daripada univerisitinya akibat keputusan peperiksaan yang begitu teruk. Ketika itu, hanya Tuhan yang mengetahui akan galau hatinya. Entah lah, mungkin dia terlampau sibuk berpersatuan sehingga mengkesampingkan keluarga dan pembelajaran. Ketika itu, dia tidak langsung terfikir untuk menyalahkan persatuan yang disertainya itu. 

Ujian ini datang bertimpa-timpa, langit hidupnya sering sahaja kelam, namun benarlah bahawa hatinya sahaja yang tidak memberi reaksi terhadap segala yang berlaku. A feeling of numb.

Dia tidak merasa sedih, kecewa, murung atau sebagainya, sebaliknya hanya menjalani kehidupan seperti manusia lain dan dipuji-puji rakan persatuannya kerana kononnya dia ini manusia terpilih kerana begitu banyak ujian menimpanya bertalu-talu. Tambahan pula, dia ditimpa kemalangan sehingga patah kaki kanannya pada ketika itu dan terlantar hampir setahun setengah di rumah, dan terpaksa menangguhkan pengajian pertamanya buat sementara waktu. 

Nampaknya dia tidak pernah menyedari akan kecenderungannya yang satu itu. 

Sungguh, kali ini, dia jatuh hati dengan rakan yang dianggapnya rakan baiknya sendiri, yang sering bertanyakan khabarnya, sering mengingatinya dan terlalu baik untuk dirinya. Orangnya berupa paras biasa-biasa sahaja, namun kecerdikan dan akhlaknya yang luar biasa menyebabkan dia makin hari makin jatuh hati pada rakannya yang satu itu. Ini bukan kali pertama, pada waktu yang lain juga, dia jatuh hati pandang pertama rakan perempuannya yang lagi seorang, juga berupa paras biasa-biasa sahaja namun sangat cerdik dan seorang muslimah pujaan ramai lelaki-lelaki di univerisitnya. 

Sehingga setelah dia pulih dari kecederaannya, dan kembali ke universiti semula untuk menyambung pengajiannya, diatidak pernah gagal berutus khabar secara maya bersama sahabatnya itu. Gila bayang. Seperti orang kemaruk bercinta. Tiap masa, saat dan waktu ada sahaja perkara yang sengaja dia cetuskan untuk berbual kerana mahu sentiasa berada dekat dengan sahabatnya itu tidak kira secara maya atau nyata. 

Sebelum menjejakkan kaki ke pengajian sarjana mudanya, dia sekali lagi jatuh hati. 

Sehingga lah Tuhan meletakkannya di salah sebuah negeri asing yang menuntut di negeri itu, dia telah mulai lupa pada istilah jatuh hati. Manakan tidak, berada berjauhan dengan rakan-rakannya, dan kesibukan dengan jurusannya di universiti, menyebabkan fokus nya sukar untuk lari dan akhirnya dia kembali bersungguh-sungguh dalam pembelajaran dan matlamat duniawinya. 

Jantung berdegup kencang, setiap hari memikirkannya, rasa teringin sekali merangkul tubuhnya, berdebar-debar yang kuat bagai mahu tercabut jantung setiap kali berpapasan dengannya, semua itu ada lah permulaan semula kepada jatuh hatinya dia kepada salah seorang senior yang baru sahaja sebulan dikenalinya. 

Orangnya manis, hidung mancung dan berkulit cerah, bahkan dia suka sekali mencuri-curi pandang wajahnya yang ayu setiap kali seniornya itu tunduk. Perasaan tersebut masih berputar-putar, dalam jiwa dan lubuk hatinya, namun tidak pernah sekali dia memilih untuk meluahkan. Jatuh cinta merupakan perkara sangat indah dalam kehidupan, tetapi dia… hanya mampu menyimpan perasaan tersebut sedalamnya. Sampai bila? 

Begitulah, peperiksaan hidupnya masih belum tamat, bahkan masih belum berakhir. Dia hanya mahu dicintai… dan mencintai.

NAMA (PSEUDONYM) : Melati

Kirimkan cerita / luahan ke http://nadyabooks.com/submit-dm

Baca Cerita: https://nadyabooks.com/stories

Discover more from Nadya Books

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading