Saya menghirup nafas dalam – dalam dan menghembusnya perlahan. Air jernih yang mengalir di pipi dikesat perlahan. Mata dipejamkan sebelum membukanya kembali selang beberapa saat. Di hadapan saya, saujana mata memandang. Dari kejauhan, sayup- sayup kedengaran azan maghrib berkumandang merdu dari masjid yang terletak di seberang. Kapal – kapal yang sedang berlabuh dan singgah bertamu, burung – burung berpusu terbang pulang ke sarang, dan saya yang tidak pernah jemu menikmati keindahan suasana petang di daerah ini.

Sesekali saya menoleh ke sekeliling. Helaian rambut yang ditiup angin dibawa ke belakang telinga. Walaupun berada agak jauh dengan keramaian, masih kedengaran suara manusia yang berpapasan, sibuk dengan aktiviti masing- masing, tidak mahu melepaskan peluang bagi menghirup udara mendamaikan di sini.

Tempat ini tidak pernah gagal mengembalikan semula diri saya. Suara merdu sang Muazzin yang bersatu dengan kicauan burung menimbulkan seribu satu rasa yang hanya saya ketahui. Nafas dihela perlahan. Saya masih memandang ke arah pelabuhan di hadapan. Doa selesai azan dilafaz. Beg di sisi dicapai dan disandang ke bahu, bersedia untuk beredar.

“You okay?”

Satu suara menerjah gegendang telinga. Senyum manisnya terukir di bibir. Dia sudah tercegat di hadapan saya bersama beg sandang.
Saya hanya tergelak kecil, tidak memberikan apa-apa jawapan.

“Sorry, I am late today.”

Dia menggaru kepala yang tidak gatal. Hari ini selendang warna Champagne corak-corak abstrak menjadi pilihannya.
Saya menggeleng perlahan. Segaris senyum diukir, dan langkah dibuka untuk beredar.
Dia hanya mendiamkan diri melihat reaksi saya. Sekilas, telinga saya menangkap helaan nafasnya.
Dia mendongak ke langit, tidak mempedulikan saya yang mula perlahan – lahan beredar dari sisinya.

“I am always… in LOVE with the sky at this time.”

Langkah saya terhenti. Ingatan lama mula menerjah ke ruangan minda. Kedengaran derapan tapak kaki menghampiri sisi. Perlahan saya turut menghalakan pandangan ke arah langit yang mula bertukar ke warna jingga.

“I… am sorry…”

Saya akhirnya bersuara perlahan. Terasa tangan kanan saya dipaut erat.
Kicauan burung makin sayup – sayup kedengaran. Langit sudah sepenuhnya bertukar warna. Masih ada dua tiga pengunjung yang berada di sekitar. Saya mengetap bibir, memaksa senyum nipis yang terukir.

“It’s okay.”

Genggaman tangannya semakin erat, bersama senyum manis yang sekali lagi menghiasi wajahnya. Pandangan kami bertentangan, lama.

Selang beberapa saat, saya menghembus nafas buat kesekian kalinya. Serta merta terkoyak senyum lebar, dan ketawa kecil daripada bibir saya.
Ah, bagaimana saya bisa terlupa tentang senyumannya?

Dia hanya tersengih, menggeleng perlahan. Saya menarik kemas tangannya dan beredar dari pelabuhan sambil ditemani kumpulan burung serta langit warna jingga keunguan.

NAMA (PSEUDONYM) : Kumalasari

Kirimkan cerita / luahan ke http://nadyabooks.com/submit-bm

Baca Cerita: https://nadyabooks.com/stories

Discover more from Nadya Books

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading