Aku sendiri tidak faham mengapa aku diuji dengan perasaan ini. Aku tidak pernah merancang untuk jatuh cinta, namun aku sudah cuba sedaya upaya mengawal perasaan kerana aku seorang yang profesional, seorang yang beretika.
Seharian aku menantikan balasan darinya. Aku sudah menghantar whatsapp sejak pagi, namun menjelang waktu pulang kerja, masih tiada jawapan. Aku cuba sekali lagi,
“Awak okay ke? Saya risau pula. Hari ini ada appointment, takut awak terlupa.”
Aku nampak dia sedang menaip, kemudian memadam. Mengetik lagi, padam lagi. Sangat membuatkan aku resah. Akhirnya mesejnya masuk.
“Maaf awak, saya dah ubah appointment ke klinik lain. Bermula dari sekarang, semua appointment saya akan dipindahkan kepada GP lain. Awak bukan doktor saya lagi.”
Tajam sungguh ayat itu. Jantungku seakan ditusuk. Nafasku sesak, tubuhku bergetar seperti mahu pitam. Aku tahu ini bukan serangan jantung, tapi sakit psikologi yang memberi kesan ke seluruh badan.
Aku sudah mengenalinya luar dan dalam. Aku tahu sakitnya, tahu rawatannya. Dan kini, semudah itu dia mahu menukar doktor, padahal sudah enam bulan kami bersama. Ya, mulanya sebagai doktor dan pesakit, tapi lama-kelamaan aku jadi tertarik dengan perwatakannya, kelembutan suaranya, ayu wajahnya.
Aku cuba menahan diri. Aku kekal profesional. Tapi aku berikan nomborku, memintanya hubungi aku bila ada masalah kesihatan. Hakikatnya, aku tidak pernah memberi nombor begitu kepada pesakit lain. Hanya dia. Aku memang mahu dia menghubungiku. Dari situlah perbualan kami berkembang dan kami makin selesa bersembang.
Suatu hari, dia datang ke klinik mengadu parut jahitan di perutnya terasa sakit. Aku memintanya baring di katil pemeriksaan. Biasanya, aku akan pastikan kakitangan perempuan menemaniku bila perlu menyentuh pesakit, tapi kali ini tidak. Aku selak bajunya hingga tampak parut itu. Aku sentuh perlahan dan kemudian menutup kembali.
Saat aku mengangkat wajah, mata kami bertemu. Pandangannya terasa memanggil. Tanpa sedar, aku berkata perlahan, “Awak cantik. Saya teringin nak cium.”
Dia tidak menolak. Dia mengangguk dan matanya seolah-olah mengizinkan. Aku hampir mendekat, namun aku tersentak sendiri. Terus teringat kalau ini salah! Jika aku teruskan, aku mungkin kehilangan kerja, ditarik lesen kerana salah laku etika. Dengan cepat aku menarik diri, memintanya bangun dan meminta maaf. Dia pun beredar.
Sejak itu aku dihantui kejadian tersebut. Memang tiada apa berlaku, tapi niat itu sudah cukup salah. Bayangan matanya masih memburu fikiranku, seolah-olah dia benar-benar mahu aku mendekatinya.
Aku cuba whatsapp lagi, tiada jawapan, hinggalah mesejnya tiba yang mengatakan bahawa dia mahu menukar doktor. Dengan berat aku membalas,
“Baiklah. Saya minta maaf jika saya yang membuatkan awak bertindak demikian. Terus terang, saya memang sukakan awak. Mungkin selepas ini kita boleh bertemu di luar, berkenalan. Saya ikhlas… mungkin serius untuk berhubungan dengan awak.”
Aku menanti. Jantungku berdegup kencang.
Balasannya tiba,
“Maaf, ianya mustahil. Saya sebenarnya sudahpun bersuami.”
Aku tergamam. Dunia seakan terhenti.
NAMA : Kaer
Kirimkan cerita / luahan ke http://nadyabooks.com/submit-bm
Baca Cerita: https://nadyabooks.com/stories