Assalamualaikum, aku Nina.
Aku nak berkongsi tentang kisah manusia-manusia luar biasa dalam hidupku. Ibuku, anak perempuan yang membesar di kampung, hidup dalam keadaan serba susah, dan dibesarkan oleh seorang Ibu yang teguh hati. Uwanku, perempuan yang ditinggalkan suami, lantas hidup berdikari dan bangkit melawan segalanya. Ayahku, lelaki yang mendewasa dalam keadaan tersisih, namun punya jiwa yang sangat mekar dengan ketabahan.
Meski keadaan Ibuku pada masa kini jauh lebih baik berbanding dahulu, aku suka mengenang kesusahan tersebut, buat peringatan dan kekuatan pada diri sendiri apabila jatuh.
Ibu aku, anak ke – 9 daripada 10 beradik. Mereka dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan, sangat sulit. Sejak kecil, ibu tak pernah merasai kasih sayang daripada seorang bapa. Ayahnya dahulu pekerja kayu balak, bekerja siang malam pagi petang, balik ke rumah jarang-jarang. Tahu-tahu, sudah berkahwin baru. Bukan dua, tetapi bininya ada tiga.
Ibu sangat mengagumi Uwanku. (Emak kepada ibuku). Dialah ketua keluarga, dialah seorang ibu. Tahun ini sudah masuk tahun ke-10 Uwan meninggalkan kami semua. Insan yang begitu banyak berjasa. Uwanku pandai menganyam atap rumbia. Dia menganyam daripada kosong. Dahulu sewaktu masih muda, Uwan pernah menjadi dayang di istana. Kata Uwan, di istana tersebut memang berhantu. Malam-malam ada sahaja ‘kekacauan’berlaku.
Uwan anak yatim, hidupnya sudah sedia sukar sejak kecil, menjadikan dirinya seorang wanita waja yang tidak pernah mengenal erti putus asa. Semangat tersebut tumpah kepada anak-anaknya. Boleh kata semua makcik dan pakcik aku rajin bekerja, tak pernah mengenal erti rehat, dan mereka semua sangat baik. Paling utama, mereka semua tukang masak yang sangat hebat!
Ibuku sangat tidak menyukai pembaziran. Dia sering bilang “Dulu kitorang adik beradik hidup susah, duit tak ada, Uwan memang berjimat-cermat. Jangan sesekali membazir.”
Kadangkala aku rasa sedih, ibu memang sangat-sangat mementingkan penjimatan, dan bekerja terlalu keras sehingga mengabaikan dirinya.
Kata ibu, dulu hidup mereka susah sehingga perlu gali lubang di halaman rumah untuk dibuat tandas. Merekalah adik-beradik perempuan yang menggali lubang sedalam beberapa meter, tanpa kudrat lelaki, semuanya mereka selesaikan dari awal hingga akhir.
Kesusahan ibuku tidak tamat di cerita mudanya. Beliau membesarkan kami tujuh beradik dalam keadaan serba sederhana. Ibu ku seorang pengasuh bayi, dan ayahku seorang tukang kebun di sekolah.
Berapa sangat bayaran yang diterima pada ketika itu, kadangkala aku rasakan tidak setimpal dengan penat lelah menjaga anak kecil. Dengan duit asuhan itulah ibuku membesarkan kami adik beradik, menghantar kami semua ke sekolah asrama penuh, sehingga selesai melanjutkan pengajian masing-masing.
Kadangkala ibu ayahku terpaksa berhutang, demi melunaskan bayaran persekolahan kami semua. Dengan muka yang terpaksa ditebalkan, mereka meminjam daripada rakan-rakan untuk melunaskan bayaran.
Kata Ayah, pernah sewaktu itu, rakan sekerja nya memerli, “Buat apa beranak ramai-ramai, kan dah susah.”
Kalau diingat balik kisah – kisah sebegitu, selain membakar semangat kami adik beradik, kami turut rasa nak cili saja mulut puaka macamtu. I hate them.
Banyak je tohmahan yang dilemparkan terhadap ayahku. Katanya ayahku curi kertas peperiksaan sekolah, jadi sebab tu kami semua sering dapat tempat pertama dalam peperiksaan.
Ibu ayahku.. tak pernah berkira, bahkan selalu ada buat kami semua…
NAMA (PSEUDONYM) : Nina
Kirimkan cerita / luahan ke http://nadyabooks.com/submit-bm
Baca Cerita: https://nadyabooks.com/stories
Baca Juga: