Kalau difikirkan balik tentang cerita dan kenangan lama yang tidak enak, memang rasa tak mahu diingat-ingat kembali. Dahulu aku macam tu, apa pun kenangan yang kurang baik tentang keluarga, aku tidak langsung mahu mengingatinya. Rasa sedih teringat kesusahan yang dihadapi ibu dan ayahku.

Tetapi bila dah sampai pada usia sekarang, aku memilih untuk rasa bersyukur dengan setiap yang berlaku. Yang buruk, yang baik, semuanya baik pada urusan seorang Muslim. Itulah yang berlaku kepada kedua ibu dan ayahku. Atas segala apa pun urusan yang mereka lalui, mereka memilih untuk bersyukur, dan bersabar. Jadi aku memilih untuk bersyukur, mengucapkan hamdalah atas segala yang berlaku. Ketika dunia tak tahu apa yang berlaku, Allah tidak pernah meninggalkan kedua orang tuaku.

حَدَّثَنَا هَدَّابُ بْنُ خَالِدٍ الأَزْدِيُّ، وَشَيْبَانُ بْنُ فَرُّوخَ، جَمِيعًا عَنْ سُلَيْمَانَ بْنِ الْمُغِيرَةِ، – وَاللَّفْظُ لِشَيْبَانَ – حَدَّثَنَا سُلَيْمَانُ، حَدَّثَنَا ثَابِتٌ، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي لَيْلَى، عَنْ صُهَيْبٍ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ ‏”‏ ‏.‏

Daripada Suhaib r.a., Rasulullah ﷺ bersabda:

“Amat aneh urusan orang Mukmin; sesungguhnya dalam setiap urusannya ada kebaikan, dan itu tidak terdapat pada sesiapa pun kecuali orang yang beriman. Jika ditimpa kesenangan, dia bersyukur, maka itu menjadi kebaikan baginya. Dan jika ditimpa kesusahan, dia bersabar, maka itu juga menjadi kebaikan baginya.” [Sahih Muslim 2999]

Aku teringat ada satu keadaan yang cukup meruntun hatiku. Mungkin ada rasa marah, sedih, dan kecewa yang bercampur baur. Ketika itu kami semua berada di asrama dan universiti masing-masing. Kedua orang tuaku diminta oleh salah seorang jiran kami untuk memasak rendang kambing bagi suatu majlis yang akan diadakannya. Dahulu, orang tuaku tidak begitu arif untuk memberi invois dan menyatakan harga dengan tepat. Jadi apa sahaja pekerjaan mereka akan ambil untuk dibuat menyara kehidupan. Bertungkus lumuslah kedua orang tuaku menyediakan bahan -bahan, dan tempat untuk memasak. Ibuku bertugas memotong dan menghiris bawang, menyediakan semua bahan-bahan untuk masakan. Ayahku pula, seorang diri melapah kambing yang sebanyak dua ekor, seharian dari pagi hingga ke lewat petang. Tiba pula masa untuk memasak rendang, mereka berdualah yang mengacau rendang selama berjam, bergilir sehingga selesai dimasak. Ah.. sukar sangat nak lupakan perbuatan orang yang tak baik terhadap ibu bapa kita kan?

Macam mana orang yang bersungguh membantu kita untuk menyediakan makanan, masakan yang sedap dan berbau harum, sehari suntuk, dengan tenaga kerja yang terhad, tapi hanya diberikan bayaran yang sungguh tak setimpal? Kata ibuku apabila aku bertanyakan jumlah upah yang diterima,

“Pakcik tu bayar RM 130 sahaja untuk rendang kambing dua ekor tu.”

MashaAllah, berasap rasanya aku dengar. Mampu geram dan marah saja sebab peristiwa tu dah lama berlalu. Tak ada common sense langsung! Mentang-mentang lah orang tak nyatakan harga, kau bagi harga sendiri yang tak masuk akal. Ini bukan soal ikhlas atau tak, tapi soal ada hati dan perasaan. Aku tahu orang tuaku bukannya jenis mahu bising-bising dan menyuarakan ketidakpuasan hati, justeru mereka akan diam sahaja dan menerima bayaran tersebut, tambahan pula apabila mereka tidak menyatakan jumlah bayaran pada awalnya.
Aku rasa panas hati, dan sedih sebab ibu ayah ku melalukan pekerjaan yang berat, dan bersetuju untuk perkara yang tidak setimpal, demi menyara kami sekeluarga.

Sewaktu ibu ayahku berhutang pada ramai orang untuk menyara persekolahan kami, sewaktu itu aku masih tidak memahami akan sengsara dan kesusahan yang mereka hadapi. Aku masih hidup ceria, melalui masa kecil yang bahagia bersama adik – beradikku, dan berasa selamat di pangkuan kedua orang tuaku. Bagaimana agaknya mereka melalui kesusahan tersebut? Bagaimana mereka masih sentiasa bersabar melalui segalanya?

Tentang ibuku yang bekerja sebagai pengasuh bayi, dan ayahku yang bertugas sebagai tukang kebun sekolah. Setelah beberapa tahun, ayahku bertukar pekerjaan kepada Pembantu Operasi di sebuah sekolah rendah. Seperti Mat Despatch sekolah, menghantar surat dan dokumen-dokumen penting kepada badan – badan kerajaan / sekolah yang berkaitan. Seakan – akan tugas ayahku adalah sentiasa di jalanan, bergerak sana sini, dia juga yang menghantar dan menjemput anak-anak pengasuh pergi dan balik dari sekolah. Sekolah ada dua sesi pula, pagi dan petang. Mereka juga menjadi guru mengaji untuk anak-anak jiran sewaktu itu. Berganti -ganti tugasnya tanpa henti dari awal pagi, hingga lewat malam. Ketika ayahku masih belum selesai waktu kerja di sekolah, ibu ku yang seorang diri mengajar mengaji, duduk sebegitu lama sehingga selesai. Itu belum lagi cerita tentang bayaran upah mengaji yang diterima, sangat tidak setimpal.

Kisah – kisah sebegini kadangkala aku mengenangnya untuk diri sendiri berbuat lebih baik kepada orang tua yang telah membesarkan kami adik – beradik dengan susah payah. Jika aku ditanya, aku tak pernah merasakan kehidupan waktu kecilku seperti orang yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kerana orang tuaku akan sentiasa berusaha menyediakan keperluan kami sebaiknya, tanpa satu rungutan.

Mungkin kekuatan ibu dan ayahku adalah pada senyuman dan kegembiraan kami, ketawa dan riangnya hati kami melalui masa kecil…

NAMA (PSEUDONYM) : Nina

Kirimkan cerita / luahan ke http://nadyabooks.com/submit-bm

Baca Cerita: https://nadyabooks.com/stories

Baca Juga:

Manusia Luar Biasa Bahagian 1

Discover more from Nadya Books

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading